Seorang sahabat datang kepada Rasulullah lalu mengatakan, "Ya Rasulullah, aku cintakan kau".
Maka Rasulullah tersenyum dan mejawab, "Aku juga cinta padamu".
Kemudian datang lagi seorang sahabat kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, aku cintakan kau".
Rasulullah hanya tersenyum...
Sahabat itu menangis, menangis teresak-esak
Rasulullah memujuk, "Kenapa dengan kamu?"
Sahabat itu dengan suara yang tersekat-sekat kerana teramat sedih berkata,
"Aku hina ya Rasulullah, aku jijik. Aku banyak dosa ya Rasulullah"
"Kenapa kamu berkata sedemikian?" Rasulullah cuba memujuk
"Aku tahu, kerana aku ni berdosa dan hina, kau tidak membalas lafaz cinta padaku bukan? kau membalasnya kepada lelaki tadi, tetapi tidak kepada aku"
. . .
Aku teringat kisah yang diceritakan oleh seorang ustaz. Ia membuat aku terfikir, apakah aku ini sayang akan nabiku, Nabi Muhammad SAW. Sewaktu kecil dahulu, ustazahku selalu bercerita, tentang orang yang dapat bermimpi bertemu Rasulullah. Beruntunglah mereka yang dapat bertemu Rasulullah dalam mimpi. Hinggakan aku juga teringin sangat. Setiap kali sebelum tidur, aku akan berharap yang aku akan bermimpi bertemu Rasulullah. Namun, mungkin aku tidak dipilih. Aku berfikir sejenak, mengapa sekarang aku tidak ada lagi pengharapan seperti dahulu. Aku hanya membaca doa tidur, dan terus lena.
Baru-baru ini, aku mengambil al-Quran untuk dibaca selepas solat Maghrib. Seperti kebiasaan, aku akan berselawat sebelum mula. Selama ini ia menjadi amalanku, tetapi aku tidak menghayatinya. Pada waktu itu, ketika lidahku basah berselawat, aku terhenti. Aku merenung muka hadapan yang tertulis 'al-Quran' dengan tulisan khat yang cukup indah. Aku cuba menghayati, aku sedang berselawat kepada Rasulullah. Dan apa yang ingin aku baca ini adalah, milik baginda. Aku berasa sangat teruja dan beruntung. Walaupun aku tidak pernah berjumpa dengannya, tetapi aku berpeluang untuk membaca salah satu mukjizat yang milik baginda. Kebiasaannya aku hanya selawat sebanyak 3 kali, tetapi pada waktu itu, aku selawat sebanyak 11 kali sebagai tanda rindu padanya.
Sekarang, aku melihat rakan-rakanku, masing-masing sudah ada pasangan. Kadang-kadang aku cuba juga mencari sebab aku ingin merasa nikmat bercinta sesama manusia. Namun kadang-kadang aku terhenti, sudah cukupkah cinta aku pada Rasulullah? Aku sering mendengar soalan cepumas yang cukup sukar untuk dijawab yang diajukan oleh ustaz-ustaz, "Agak-agak boleh tak kita cintakan Rasulullah lebih dari mana-mana manusia kat dunia ni? Akak, boleh tak akan cintakan Rasulullah lebih dari suami dan anak-anak?...(dan seumpamanya)" Soalan yang sangat sukar untuk kita dijawab. Nak jawab boleh, hati kita menipu. Nak jawab tidak, serba salah pulak kerana Rasulullah itu nabi kita. Jadi apa yang aku mampu lakukan, amalkan sunnah baginda. Itu saja yang mampu aku lakukan. Aku boleh lafazkan cinta padamu wahai Rasulullah, tetapi aku takut bahawa lafaz itu hanya pada lidah. Dan yang pasti, aku amat bersyukur kerana menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Aku harap rakan-rakan juga begitu.
. . .
Sahabat tadi terus menangis.
Maka Rasulullah berkata kepadanya sambil tersenyum,
"Lelaki tadi melafazkan cinta padaku, dia hanya mencintaiku dengan lafaz. Maka aku jawab dengan lafaz. Tetapi engkau mencintaiku dengan lafaz dan hati. Maka aku jawab dengan hati"
subhanallah , perkongsian yg sgt menyedarkan . kadang-2 selalu jee terlalai :'/
ReplyDeletememang sifat manusia itu lalai, Alhamdulillah slagi kita masih sedar :)
Delete